28 Jan 2010 @ 8:50 AM 
 

Pengajian Ilmiah: Pendekatan Khusus Dalam Tamadun Islam

 

Ketetapan Yang Terhasil
dalam Seminar Kebangsaan Pengajian Bersanad dan Sains Islam 2006

Pada tahun 2004, Pengasas-Penyelidik Akademi ‘Ulum Pondok Dan Pencerahan Tamadun telah ditugaskan oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Mudir Pondok Lubok Tapah (wafat 2008) untuk membela kerelevanan ilmu-ilmu yang ditalaqqikan di pondok-pondok serta mengusahakan beberapa pendekatan supaya ilmu-ilmu sedemikian tidak dilekehkan oleh pensyarah-pensyarah di universiti-universiti tertentu. Pendekatan yang diambil oleh Pengasas-Penyelidik adalah penyuburan atau tambah-nilai kepada ilmu-ilmu yang ditalaqqikan tersebut.
Ilmu-ilmu yang ditalaqqikan di pondok-pondok yang kebanyakannya bersumber dari pengajian halaqat di al-Haramain. Antaranya, di Masjidil Haram Makkah - yang merupakan sebuah insitusi pengajian yang sama taraf dengan Jami’ah al-Azhar pada suatu ketika dahulu - memiliki pendekatan pengajian dan pengijazahan yang terakui sepanjang sejarah Islam. Apabila seseorang pelajar mengikuti pengajian halaqah di Masjidil Haram atau di rumah-rumah para sheikh maka bagi penamatan pengajian diadakan sidang pengujian atau munaqashah bagi memperoleh Ijazah Tadris. Ijazah Tadris ini bermaksud kebenaran untuk mengajar akan ilmu-ilmu yang dipelajari. Ijazah begini juga mengandungi ijazah menurut mustalah hadith yang mementingkan periwayatan bersambungan (riwayat muttasilat). Pendekatan ini juga digunapakai di Jami’ah al-Azhar Mesir sebelum pembaharuan dilakukan.
Penerima-penerima Ijazah Tadris menguasai kebanyakan ilmu-ilmu utama dalam pengajian Islam serta layak mengajarkannya. Antara tokoh ulama Melayu yang pernah memperoleh ijazah seperti ini - antaranya - ialah Sheikh Ahmad Zain al-Fatani, Tuan Guru Hj. Abdullah Tahir, Tuan Guru Umar Zuhdi, Tuan Guru Hj. Abdullah bin Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah.
Dengan bersandarkan pada saranan Tuan Guru Hj. Abdullah, Pengasas-Penyelidik mengorak langkah menggariskan intipati pengajian Islam yang mengikatkannya pada satu penetapan bahawa kesatuan dan kesepaduan pemikiran Islam wajar diketengahkan sesuai dengan realiti arus dunia ilmu. Pada tahun 2006, Pengasas-Penyelidik telah mengadakan Seminar Kebangsaan Pengajian Bersanad dan Sains Islam (dengan kerjasama beberapa NGO) yang merupakan kelanjutan Seminar Kesinambungan Tradisi Pengajian Islam di Masjid Pondok Lubok Tapah Pasir Mas Kelantan sempena ulang tahun pondok tersebut.
Penumpuan khusus pengajian ilmu usuluddin, fiqh dan tasawwuf dengan dirangkaikan dengan induk al-Hikmah. Manakala pengajian ilmu-ilmu alat seperti nahwu, shoraf, balaghah dan seumpamanya merupakan syarat dan persediaan bagi pemahaman ilmu-ilmu tersebut. Kombinasi ilmu-ilmu yang ditalaqqikan dengan ilmu-ilmu semasa yang disaringkan dengan berpandukan prinsip dan kaedah keIslaman adalah amat perlu dalam meningkat penyuburan dan nilai-tambah dalam membina masyarakat Islam yang berkualiti. Yang dimaksudkan dengan ilmu-ilmu semasa yang disaringkan adalah hasil-hasil pengislaman sains atau kemudiannya disebut sains Islam.
Penumpuan hanya pada usuluddin, fiqh dan tasawwuf masih belum melayakkan sesebuah pondok dianggap pondok sebenarnya. Ini kerana ilmu-ilmu alat serta illmu pelengkap harus difahami terlebih dahulu. Jika ini tidak dimiliki maka memperlihatkan ‘pengecilan’ ilmu-ilmu yang ditalaqqikan di pondok-pondok pada zaman dahulu. Malah berbeza dengan ilmu-ilmu halaqat di al-Haramain itu sendiri. Prestasi sesebuah pondok dan kualiti yang berjaya dikeluarkan olehnya amat bergantung pada kesatuan dan kesepaduan ilmu-ilmu tersebut.

Pusat Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun telah ditukar namanya kepada Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun. Pihak pengurusan seminar ini juga bergantung pada penyelidikan dan pembangunan yang disampaikan oleh PENGKAJI yang diketuai Tuan Guru Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah.

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/single.php on line 57