12 Mar 2010 @ 1:14 AM 

Bismillahirrahmanirrahim

Pengajian talaqqi secara bersepadu amat ditekankan di halaqat Masjidil Haram Makkah al-Mukarramah. Pengajian bentuk ini sebenarnya yang menguasai pengajian pondok-pesantren di Alam Melayu. Penamatan pengajian talaqqi ini dibuktikan dengan pemberian ijazah li al-tadris yang menjadi autoriti tradisi bagi kelayakan mengajar. Tanpanya, pengajian seseorang belum benar-benar mantap menurut pengamatan para guru yang membimbing seseorang penuntut ilmu berkaitan. Ijazah bentuk ini dilengkapi dengan sanad-sanad sama ada disebut secara umum atau ditentukan akan kitab-kitab. Ijazah li al-tadris juga pernah dikeluarkan kepada para lepasan pengajian talaqqi di Jami’ah al-Azhar sebelum direformasikan sistem pendidikannya.

Seseorang yang menerima ijazah li al-tadris ialah orang yang paling layak menyampaikan ilmu-ilmu dan terletak keautoritian pengajian talaqqi yang sebenar. Ada sebahagian ulama dimunaqashahkan untuk ujian kelayakan penerimaan ijazah tersebut seperti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (yang diijazahkan bagi tadris oleh Sheikh ‘Umar Barakat al-Shami al-Azhari), al-Safarjalani dan lain-lain.

Ilmu Nahu, Sharaf dan Lughah adalah pengajian asasi yang mesti dilepasi. Ini kerana Ilmu-ilmu tersebut adalah ‘penentu’ seseorang berupaya mendalami pengertian-pengertian yang tahqiqi dan tadqiqi. Dalam ertikata lain, ilmu-ilmu tersebut adalah pemandu serta pemudah-cara bagi pemahaman ilmu-ilmu lain.

Dalam tradisi pengajian Fiqh Islami, ulama Melayu cenderung kepada mazhab Shafi’i. Aliran pengajian fiqh sebelah Makkah didominasi oleh bentuk fiqh dalam pengamatan Sayyid Bakri Shata seperti yang dikemukakannya dalam karyanya yang terkenal, I’anah al-Talibin. Pada abad ke-20M, hampir kebanyakan ulama Semenanjung Tanah Melayu bergurukan Pak Chik Wan Daud al-Fatani (murid Sayyid Bakri Shata) dan Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, Sheikh Daud bin Sulaiman al-Makki. Inilah aliran fiqh Shafi’iyyah di Makkah yang mengalir ke Semenanjung Tanah Melayu.

Bukan sekadar ilmu tauhid, ilmu fiqh dan ilmu tasawwuf harus dikuasai serta mendominasi pengajian talaqqi. Malah ilmu mantiq berpunca al-Risalah al-Shamsiyyah merupakan pasangan penting dalam hukum akal dan ilmu kalam yang membernaskan hujahan akali dalam keyakinan akali dalam iman kepada Allah Ta’ala. Ilmu Balaghah yang terkandung padanya sub-sub seperti bayan, badi’ dan ma’ani harus dikaji secara asas yang kukuh dalam Mukhtasar al-Ma’ani. Menurut kecenderungan kemuncak bagi penamatan pengajian amat bergantung pada induk ilmu yang menerajui perkembangan tamadun Islam iaitu ilmu al-Hikmah. al-Hikmah ini menerajui umat Islam dan tamadunnya demi kelangsungan ilmiah yang bersifat kesatuan dan kesepaduan ilmu.

Ketiadaan pengetahuan asasi ini menunjukkan seseorang penuntut belum sebati dengan ilmu-ilmu yang ditalaqqikan dalam erti yang selayaknya. Kualiti pewarisan ilmu-ilmu kepada generasi berikutnya amat bergantung pada ciri-ciri ini.

Pengajian di Masjidil Haram Makkah seperti yang dikemukakan oleh ‘Umar bin ‘Abdul Jabbar dalam Siyar wa Tarajim jelas memperlihatkan kejayaan institusi ini dalam pengkaderan beberapa generasi ulama yang merata ke seluruh pelusuk dunia Islam. Selain sebagai pusat ibadat ‘umrah dan haji, berperanan juga sebagai kiblat ilmu yang penuh barakah yang mutawatir.

Pada hari ini, dengan surutnya institusi pengajian di Masjidil Haram Makkah, ulama-ulama lepasan Masjidil Haram atau di sekitarnya seperti Madrasah Saulatiyyah, Madrasah Falah dan Madrasah Darul ‘Ulum masih - jika belum wafat - menyumbang bakti keilmuan di Alam Melayu.

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58