



Oleh: Mohd Zaidi Abdullah
Karya-karya ilmiah amat kurang dan lembap di pasaran kecuali yang dijadikan teks wajib di tempat belajar. Inilah satu realiti yang sedang melanda rakyat Malaysia. Realiti ini akan mengimplikasikan segenap aspek penghidupan rakyat. Adakah kita dapat merealisasikan sebuah masyarakat berilmu? Atau, hanya masyarakat yang membangun tanpa perancangan yang teliti!
Persoalan-persoalan ini harus ditangani dengan jujur dan berkesan bukan hanya dalam kertas-kertas di seminar atau seumpamanya. Kementerian-kementerian tertentu seperti Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan seumpama perlu bekerjasama dalam menyemai sifat cintakan ilmu.
Belanjawan yang diperuntukkan pada kementerian-kementerian ini perlu sebahagiannya ditabungkan dalam tabung bersama yang menggalakkan pembacaan di kalangan rakyat.
Jika bahan perdagangan diberikan subsidi oleh kerajaan maka amat patut lagi buku-buku diberikan subsidi supaya harga buku tidak membebankan pembaca. Kesan daripada pembacaan akan membawa kepada rakyat yang berpengetahuan. Sedikit sebanyak gejala sosial dapat dikurangkan.
Pihak kerajaan dan swasta diharap dapat mengadakan anugerah cemerlang pembacaan bagi setiap daerah. Bahan pembacaan perlu juga dikelaskan. Bagi mereka yang menguasai pelbagai bidang perlu diberi keutamaan kerana orang sebegini mampu melahirkan pemikiran kreatif yang mampu mengangkat martabat Malaysia. Untuk menjayakannya perlu dielakkan kerenah birokrasi. Panel penilai yang bebas perlu dibentuk.
Saranan ini untuk menyeimbangkan anugerah-anugerah atau program-program yang berbentuk hiburan seperti Malaysia Idol, Akademi Fantasia, Minggu Fesyen dan lain-lain. Malaysia perlu bertindak sebelum terlambat. Karya-karya agung wajar disarankan kepada masyarakat Malaysia seperti karya Imam Ghazali, Imam Syafie, Ibnu Khaldun, Ibnu Hajar al-Haitami, Albert Einstein.
Para pembaca disarankan membaca karya asli bukan karya ulasan atau seumpamanya. Yakni, umpamanya, membaca karya Muqadimah Ibnu Khaldun sama ada yang asli atau yang diterjemah. Majlis pembacaan buku dan diskusi akan melebarkan lagi aspek kreatif di kalangan pendengar yang berminat dan ini perlu diwakili oleh setiap wakil daerah yang ditanggung oleh pihak kerajaan atau swasta sebagai satu usaha kebajikan masyarakat.
Pembacaan juga diiringkan dengan perbincangan untuk mengaplikasikan apa yang dibaca. Sejajar dengan ini, mana-mana karya agung yang belum diterjemah patut diterjemahkan dan secara tidak langsung penerbitan karya agung akan laris di pasaran. Perkembangan ini akan terus membantu penerbit-penerbit buku di Malaysia.
Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung akan menarik minat sebahagian rakyat kepada bidang pembacaan dan akan mengurangkan kepada tumpuan mereka kepada hiburan semata-mata.
Pesta Buku Antarabangsa yang hanya menjurus pada penjualan sahaja sebenarnya tidak menyumbang kepada peningkatan jumlah pembaca tetapi program sampingan mesti diadakan untuk menjana minda masyarakat pembaca.
Mungkin dapat ditubuhkan kelab atau persatuan pembaca se-Malaysia. Saranan-saranan ini diluahkan sempena menyambut bulan kemerdekaan untuk negara yang tercinta.
