09 Sep 2003 @ 2:04 PM 

Ruangan Buku Utusan Malaysia
Oleh: MOHD ZAIDI ABDULLAH

Sudah berbulan-bulan saya memerhatikan pengunjung-pengunjung dua buah kedai buku yang terbesar di Lembah Klang, didapati masih mendukacitakan kerana orang Melayu kurang berada di rak-rak buku yang mengandungi perbahasan berat.

Inikah boleh dikatakan umat Melayu dan Islam sudah mencapai keseimbangan dalam mendekati realiti maklumat terkini dalam semua bidang ilmu? Di Kelantan, buku-buku agama yang mengandungi pemikiran tinggi juga semakin kurang.

Jadi di manakah silapnya? Masyarakat Jepun yang berjaya dikenal dengan suka membaca. Peristiwa 11 September juga turut menyebabkan buku-buku Islam macam goreng pisang.

Buku-buku ini dibaca oleh orang bukan Islam kerana hendak mengerti apa itu Islam sehingga peratusan pemelukan Islam meningkat beberapa kali ganda. Demikian maklumat yang disebutkan oleh Prof. Datuk Dr. Osman Bakar.

Tetapi kenapakah buku-buku yang berat kurang mendapat perhatian? Ini bermakna sifat berpada dengan apa yang ada masih mempengaruhi umat Melayu. Kita tidak sewajarnya asyik diulit dengan buku fardu ain sahaja malah perlu memberanikan diri menjadi umat bertanggungjawab dalam ilmu fardu kifayah.

Selaku penyelidik, untuk berbincang perkara yang berat-berat amat payah sekali sehingga terpaksa pergi mencari profesor atau pensyarah yang sudah berumur. Yang muda kebanyakannya pandai bercakap tetapi isi percakapan itu boleh dikatakan copy and paste sahaja, bukan idea yang menunjukkan bahawa mereka benar-benar menyelidik demi menunaikan tanggungjawab.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian juga, kebelakangan ini seminar-seminar yang mengkritik mazhab atau tokoh tertentu dalam bidang agama menjadi popular seperti seminar yang dianjurkan oleh golongan Wahabi untuk mengkritik golongan yang tidak sealirannya dengannya. Buku-buku sebegini laris jualannya.

Ingin saya bertanya, adakah ini sahaja agama Islam yang diperjuangkan? Sebenarnya ingin saya menasihatkan kepada mereka yang membawa pemikiran sebegini supaya gunakanlah kebijaksanaan akal fikiran dan ilmu pengetahuan untuk membina generasi yang mendalam ilmu pengetahuannya.

Berani saya katakan, berapa keratkah yang mampu memahami dengan sebenar kandungan karya-karya agung umat manusia? Stephen Hawking yang juga seorang saintis terkenal dunia sekalipun diketahui sebagai seorang atheis sanggup membaca kembali karya-karya agung dalam tamadun mereka tetapi kenapakah umat Islam hanya berpada dengan karya-karya popular semasa sahaja.

Ini sebenarnya realiti yang menimpa umat Islam dan Melayu di Malaysia dan mungkin juga di serata dunia.

Berapa keratkah yang mengenali Dr. Ahmed Zuweil yang menerima anugerah Nobel Kimia pada tahun 1999?

Berada pada zaman yang dipengaruhi pengaruhi sains dan teknologi, memerlukan kita cepat menguasai perkembangan ilmu dalam mengejar peningkatan daya berfikir. Tulisan beliau tentang dirinya yang berjudul Voyage Through Time, terbitan World Scientific, tahun 2000, beliau amat menghargai jasa saintis-Muslim seperti al-Hazen atau Ibnu Haytham sebagai pencetus kepada pencapaiannya dalam bidang sains dan teknologi. Dr. Zuweil membetulkan sejarah ilmu pengetahuan di hadapan majlis penganugerahannya tanpa rasa bimbang. Bukan setakat itu saja, pencapaian beliau dialu-alukan oleh Bill Clinton, Presiden Amerika Syarikat (AS) pada ketika itu.

Sikap yang berani dengan berisikan pengetahuan yang mendalam sahaja yang akan berjaya serta dikenang manusia. Tiadanya pengetahuan yang tepat sebeginilah menunjukkan contoh kelembapan tahap pemikiran majoriti masyarakat Malaysia termasuk Muslim dan non-Muslim. Dalam dunia sains dan teknologi, alatan uji kaji atau paradigma pemikiran memandu penemuan terkini.

Cara perbaiki maklumat penting demi untuk mengetepikan racun budaya pemikiran penjajah. Penjajah dalam abad teknologi maklumat. Seandainya spekulasi mampu menjunamkan saham kenapakah tidak difikirkan kurang ketepatan dalam ilmu pengetahuan juga mampu menjunamkan kebudayaan dan tamadun. Dengan ini, masyarakat Melayu perlu sentiasa peka dengan perkembangan persekitaran dalam segenap aspek dari sekecil-kecil isu hingga ke mega isu sekalipun. Inilah sahaja cara untuk membentuk masyarakat yang matang.

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58