15 Aug 2003 @ 2:10 PM 

Oleh Mohd Zaidi Abdullah

Dalam penyelidikan, saya telah menemui sebuah karya penting dan unik. Ia berjudul Muqaddimah al-Ha’iah (Pendahuluan Astronomi) oleh Awan Din Patani yang diselesaikan pada tahun 1389 Hijrah.

Karya ini tersimpan dalam khazanah Tuan Guru Abdullah Abdurrahman (Lubok Tapah) yang mana penulis karya tersebut adalah sahabat seperguruannya. Menurut Abdullah Lubok Tapah, Awan Din memperoleh ilmunya dalam ilmu falak klasik dan moden melalui gurunya, Syaikh Daud bin Sulaiman al-Kalantani al-Makki. Yang turut mengasuhnya ialah Syaikh Pak Da Eil Patani dalam pemikiran Islam. Kedua-dua ini punya tauliah mengajar di Masjidil Haram Mekah.

Kaitan apa yang tertulis dalam karya di atas dengan pemikiran orang Eropah ialah tentang Ptolemy dan Copernicus. Kedua-dua tokoh ini adalah orang Eropah dan mereka berdua turut disebut oleh Awan Din Patani. Bukan sekadar itu sahaja, penulisnya menyebut Pythagoras, Tycho Brahe, Galileo Galilei dan Johannes Kepler. Ptolemy menganggap bumi sebagai pusat (markaz) alam manakala Copernicus menetapkan matahari sebagai pusat alam.

Menurut Thomas S. Kuhn, seorang ahli sejarah dan falsafah sains terkenal dunia, kedua-dua pendapat ini adalah suatu paradigma. Sebenarnya, menurut kajian G.J. Toomer dan George Saliba (Columbia University), sebelum Copernicus menonjolkan teorinya tokoh ilmuwan Islam telah mendahului mengamalkannya dalam kajian mereka terutama era Balai Cerap di Maraghah.

Menurut kajian Toomer, orientalis pada zaman krisis pemikiran antara Ptolemy dan Copernicus telah meninjau-ninjau manuskrip-manuskrip di Istanbul umpamanya untuk memperbaiki pemikiran saintifik mereka. Sebagai buktinya, pada tahun 1620, Kepler mengutus surat kepada Tengnagel bertanyakan isi kandungan buku Arab. Perkara ini ramai yang tidak mengetahuinya secara pasti.

Mungkin jika kajian Eropah dilakukan secara jujur akan membongkar segala asas sains dan teknologi mereka. Dengan berbuktikan karya Muqaddimah al-Hai’ah, menunjukkan pengajian di Mekah mengambil kira perkembangan ilmu di arena antarabangsa. Diketahui atau tidak itu adalah soal lain.

Dengan bukti ini juga, pengajian Eropah-Asia memang sudah ada cuma secara rasmi tidak diisi dengan cara padat dan menyeluruh yang menunjukkan pendekatan timbal-balik antara Asia dan Eropah. Eropah juga banyak memberi sumbangan kepada pemikiran sains dan teknologi benua Amerika. Begitu juga, benua Afrika turut kaya dengan penemuan-penemuan yang menarik terutama di Mesir. Pihak Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) patut benar mempertingkatkan keupayaan penyelidikan masing-masing agar memberikan banyak manfaat kepada rakyat Malaysia.

Daripada khazanah sebegini juga, jika dipaparkan pada khalayak umum pasti akan memudahkan pembentukkan masyarakat yang berilmu kerana tradisi mereka asalnya pernah ambil berat tentangnya.

- MOHD ZAIDI ABDULLAH ialah seorang penyelidik di Pondok Lubok Tapah.

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58