15 Mar 2001 @ 12:54 PM 

Rencana Syed Mahadzir Terus Dipertikai

Oleh Mohd Zaidi Abdullah

RENCANA agama bertajuk Perbezaan Ahlussunnah dan Asha‘irah oleh Syed Mahadzir wajar dikritik dan sudah dibentangkan dengan hujah yang kuat oleh Mohd Farid Mohd Shahran dalam ruangan ini pada 27. Februari. 2001.

Setelah Syaikh Abdul Aziz ibn Baz mengkritik pentakwilan sifat, lahirlah secara lantang pengkritik terhadap Asha‘irah. Ini jelas terlihat dalam Tanbihat fi Radd ‘ala Man Ta’awwala al-Sifat oleh Samahah Abdul Aziz ibn Baz. Ketika mengkritik kata-kata Syaikh Muhammad ‘Ali al-Sabuni (pengarang Tafsir Ayat al-Ahkam), Syaikh Abdul Aziz ibn Baz menyatakan, “Tidak syak bahawa sesat dengan sebab perselisihan dalam akidah oleh banyak puak seperti Muktazilah, Jahmiyyah, Rafidah, Qadariyyah dan pelbagai lagi dan juga Asha‘irah, mereka sesat pada perkara yang mereka sanggah dalam perkara kitab dan sunnah dan pendapat ulama yang terpilih daripada umat ini seperti sahabat dan tabiin serta ulama yang mendapat petunjuk pada perkara yang mereka mentakwilkannya daripada nama Allah dan sifat-Nya selain takwilannya.

Abu al-Hasan al-Ash‘ari bukan daripada Asha‘irah dan andainya dinisbah padanya bagi yang kembali kepada mazhab mereka dan dia menganut mazhab Ahli Sunnah maka pujian ulama baginya bukan untuk mazhab Asy‘ariyah. Dan tidak sah melontar tuduhan jahil kepada orang yang mengingkari mazhab Asy‘ariyah pada perkara yang mereka (Asy‘ariyah) menyanggahinya kerana hakikat jahil iaitu kata-kata terhadap Allah tanpa ilmu. Sesiapa yang mengambil kitab, sunnah dan kaedah syarak mu‘tabar dan melalui atas jalan salaf umat dan mengingkari orang yang mentakwil nama Allah dan sifat-Nya atau sesuatu daripadanya selain takwilannya maka dia tidak boleh dituduh jahil.

Dalam hubungan ini, Ibnu Baz memulakan kembali satu siri penentangan terhadap ulama silam. Akibatnya, ramai ustaz yang pernah belajar di Arab Saudi mengajar serta menuduh ulama silam sebagai bidaah dan sesat. Ajaran begini secara tidak langsung boleh memecahkan kesatuan Ahli Sunnah sebagai mana yang diketengahkan oleh Syaikh Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki, seorang pengkritik pemikiran Wahhabi di Makkah dalam bukunya bertajuk Mafahim Yajibu an Tusahhah. Kitab ini disahkan oleh lebih kurang 37 orang ulama berkaliber pada zaman sekarang.

Ibnu Baz menyatakan Ash‘ariyah sesat bersama-sama dengan Jahmiyyah, Muktazilah dan lainnya adalah bahaya kepada ajaran Islam. Ini kerana, ramai perawi hadis atau perawi kitab hadis terkenal seperti Sahih Muslim diriwayatkan oleh penganut Asha‘irah seperti Faqih al-Haram seorang pengikut setia Imam al-Haramain. (Sila baca Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi). Dalam mustalah hadis, seorang periwayat tidak boleh memperjuangkan bidaah dan sesat. Kalau diturutkan kata Ibnu Baz maka Sahih Muslim tidak dapat diterima pakai kerana perawi kitab berkenaan sudah dibidaahkan, malah dikategorikan bersama-sama dengan Muktazilah atau Syiah. Ini penyelewengan yang sedang berlaku dalam kajian hadis oleh golongan Ibnu Baz. Jelas terlihat pertentangan mereka dalam memahami mustalah hadis. Tetapi, kenapakah mereka tetap juga menggunakan periwayatan Faqih al-Haram bagi Sahih Muslim. Begitu juga kenapakah mereka tetap menerima pakai Sahih Bukhari yang ditahqiqkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan al-Hafiz al-Qastallani. Perlu diingat oleh semua pengkaji dan peminat hadis, Sahih Bukhari memang terkenal, namun pemindahan kepada generasi berikutnya yang terlebih tepat dari segi isi kandungan ialah riwayat al-Farabr hingga sampai kepada Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan al-Qastallani adalah pengikut Asha‘irah. Kalau kita tidak mengikut pemeliharaan kandungan Sahih al-Bukhari oleh kedua-duanya, siapakah lagi kita mahu ikuti ? Sepatutnya mereka tidak boleh mengguna pakai kitab berkenaan kerana perawi kitab berkenaan sudah dibidaahkan dan disesatkan jika ditinjau dari segi mustalah hadis. Ini satu krisis intelektual yang sengaja dirancang agar umat Islam berpecah-belah (serta pemusnahan khazanah ilmu-ilmu Islam secara beransur-ansur ). Betullah kata Mohd Farid, isu ini sebenarnya isu lama tetapi mereka sengaja zahirkan kembali.

Keduanya, penafsiran terhadap ayat mutashabihah yang dilakukan oleh Asha‘irah tidak sama dengan penafsiran ayat mustashabihah yang dilakukan oleh al-Mu‘tazilah. Cuba teliti kitab al-Kashshaf karya al-Zamakhshari yang dalam kitab berkenaan diselubungi huraian yang menyokong mazhab al-Mu‘tazilah. Dalam al-Quran, ada beberapa ayat yang menyatakan: “Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu berfikir.” (Surah Yusuf). Ayat ini bermakna akal fikiran boleh digunakan dalam memahami wahyu. Wahyu yang dimaksudkan pula ada ayat mutashabihah. Ayat ini juga boleh menjadi hujah penguat kepada metode yang diambil oleh Asha‘irah dalam penafsiran ayat mutashabihah bagi mengelak kekeliruan seperti al-Rahmanu ‘ala Arshishtawa. Sebelum mengemukakan hujah, Asha‘irah mendapati ada dalam khazanah perbendaharaan bahasa Arab perkataan istawa pernah dipakai dengan makna ‘memerintah’ dengan hujah satu syair klasik iaitu istawa Bishr ‘ala ‘Iraq (Bishr memerintah Iraq). Syair yang belum terjejas kemurniannya disepakati oleh ulama bahasa dan ulama nahwu dalam bahasa Arab. Satu fakta lain, yang mesti disedari muslimin di Malaysia bahawa ayat yang al-Quran pernah menyatakan “… tidaklah mengetahui takwilnya melainkan Allah dan orang yang teguh dalam ilmunya”. Ulama nahwu mengharuskan dua keadaan pada ayat ini. Pertama, ulama hanya menghentikan (waqf) pada lafaz Allah sahaja. Ini membawa makna “tidaklah mengetahui melainkan Allah”. Dari segi tatabahasa, sebahagian ulama salaf berpegang ayat mutashabihah diserahkan maknanya kepada Allah sebagaimana kata Imam Malik. Kedua, ulama turut mengharuskan ayat “orang yang teguh dalam ilmu” (wa al-rasikhuna fi al-‘ilm) menjadi kata ikutan bagi lafaz Allah di mana perkataan dan (waw) menjadi kata penghubung. Sebelum ulama nahwu mensabitkan ketentuan ini mereka berhujah secara kias daripada ayat lain. Hujahan ini menyokong pentakwilan oleh golongan Asha‘irah tetapi dengan syarat ia dikukuhkan melalui sumber sahih seperti bahasa Arab. Kedua-dua bentuk i‘rab ini diterima pakai oleh seluruh ulama Ahli Sunnah.

Pemaparan ini mengesahkan kebolehan (atau keharusan) mentakwilkan ayat mutashabihah agar boleh dimengertikan. Pentakwilan juga bertujuan mengelak kesalahfahaman umat Islam. Ini dituntut oleh ajaran Islam yang mana al-Quran pernah menyifatkan dirinya sebagai penerang segala-galanya. Apabila ada yang menafikan langsung pentakwilan seperti Ibnu Baz dan rakannya, mereka sebenarnya melakukan revolusi ke atas ilmu nahwu yang sudah berkurun-kurun lama diakui sebagai alat untuk memahami al-Quran dan al-Hadis. Siapakah Ibnu Baz dan rakannya untuk mempertikaikan ilmu nahwu sekalipun tidak secara terang-terangan. Soal orang Arab tidak mahir nahwu memang sudah wujud sebagai contoh Sibawaih bukan orang Arab tetapi orang ‘Ajam. Kitab Sibawaih diakui secara ijmak sebagai sahih untuk diterima pakai. Pengeluaran makna ‘ikhtiyari’ dan ‘kasbi’ yang diterima kini pun bukanlah secara mudah oleh ulama Sunni tetapi melalui gabungan makna wahyu dan akal kerana ia tiada dinyatakan secara sarih (jelas). Pemaparan ini, secara analoginya, penguat kepada hujah Mohd Farid yang menyebut menyemangati kandungan al-Quran dan sekali-kali tidak bertentangan dengannya.

Ringkasnya, ayat mutashabihah boleh ditakwilkan. Penyerahan mengenainya kepada Allah juga boleh. Pengikut Abu al-Hasan al-Ash‘ari yang dikenali sebagai Asha‘irah dan pengikut Abu Mansur al-Maturidi adalah sahih dari segi kehendak wahyu sekalipun mereka berbeza dari segi lafziyyah dalam membilang jumlah sifat. Ini boleh diambil iktibar daripada isyarat Allah dalam al-Quran yang sah dibaca dengan 10 qiraat sekalipun kita wajib percaya bahawa al-Quran itu satu. Al-Qiraat adalah satu bidang ilmu yang tidak boleh disangkal kerana jika disangkal maka terkeluar daripada agama Islam. al-Qiraat sebagaimana kajian mencambahkan tahap makna ayat yang terbabit dan kesannya amat mendalam kepada perkembangan bahasa, penulisan al-Quran al-Karim, i‘tiqad dan fikah. Sila baca al-Qiraat al-Mutawatirah (sebuah risalah kedoktoran yang diselia Dr. Wahbah al-Zuhaili) oleh Dr. Muhammad al-Habash, terbitan Dar al-Fikr. Ini satu bukti kepelbagaian tahap yang dibenarkan oleh al-Quran sekalipun ia tetap satu. Tujuannya, sebagaimana termasuk dalam kenyataan Mohd Farid iaitu sesuatu perkara yang disampaikan bersesuaian dengan tahap si penerima. Dengan ini, al-Quran memberi teladan dengan kewujudan sistem al-Qiraat. Pengasingan Asha‘irah daripada kelompok Ahli Sunnah adalah satu kerja yang berbahaya. Ramai ulama merujuk pengi‘raban Imam Fakhruddin al-Razi (tokoh Asha‘irah) [seperti dalam al-Tafsir al-Kabir ], al-Iklil Hashiyah Madarik al-Tanzil karya Abdul Haqq al-Alahabadi terhadap al-Quran al-Karim bagi memunculkan makna dalam penerjemahan al-Quran. Kalau mereka dibidaahkan maka kepada siapa lagi untuk kita fahami syariat Islam ? Tetapi, hari ini, umat Islam jarang mengetahui kesan al-Qiraat ini terhadap paradigma pemikiran Islam secara keseluruhannya. Ingatlah dari segi perbandingan, sudah tentu Syed Mahadzir jauh lebih rendah ilmunya berbanding tokoh Asha‘irah maka layakkah beliau untuk menganalisis mengenai Asha‘irah. Alhamdulillah, kini, ada mushaf yang menyajikan pelbagai al-Qiraat. Sila pembaca baca dan kaji daripada ulama yang berpengalaman dan kukuh dalam bidang nahwu serta segala ilmu alat yang berkaitan.

…. artikel ini disiarkan dalam Berita Harian, 15hb Mac, 2001…….

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58