



OLEH: MOHD ZAIDI ABDULLAH
SETELAH detik terakhir tahun 2000 berlalu, manusia mula melalui era baru mengikut ukuran tahun Masihi, tahun 2001 pula muncul sekali gus kena berdepan dengan pelbagai keadaan yang penuh mencabar ekoran dunia pesat dengan kemajuan teknologi maklumat dalam pengglobalisasian.
Globalisasi memaksakan diri kita menanamkan jati diri agar tidak mudah diperangkap oleh faktor asing terutama perkara-perkara yang bercanggah dengan konsep, prinsip dan kaedah ajaran Islam.
Andainya jati diri masih belum diperoleh dibimbangi akan memudahkan penyerapan budaya asing serta menghancurkan segala impian.
Atau dengan kata lain, sikap kita akan terumbang-ambing.
Mengiringi langkahan tahun 2001, filem yang bertemakan keagamaan bertajuk Syukur 21 menghiasinya jendelanya.
Bagi memantapkan penjatidirian, sebagai peringatan, maka perlu umat Islam mengharungi kehidupan dunia dengan kembali kepada al-Quran, al-Hadis, Ijmak dan Qiyas. “Kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada kitab Allah dan Sunahku.” (Riwayat Imam Malik)
Semangat ingin kembali kepada al-Quran dan al-Hadis semakin bersemarak dalam kebanyakan hati umat.
Persoalan akidah, fikah harian, fikah muamalat dan tasauf kian digemari serta kian ditekuni.
Cuma beberapa perkara umat Islam perlu melahirkan unsur penjatidirian terutama dalam pemikiran berkaitan sains dan teknologi yang tidak bercanggah dengan akidah Islam.
Di satu pihak dilancarkan Wawasan 2020 dengan pengisian Koridor Raya Multimedia (MSC) manakala pihak lain pula melancarkan Maju Bersama Islam.
Nampak saja dua konsep idea berlainan, namun mekanismenya dalam pembangunan sains dan teknologi masih bersifat perkongsian.
Mereka masih menggunakan komputer IBM yang direka oleh Barat. Pencapaian masing-masing terhad dalam bidang berkaitan.
Malah dalam hal-hal lain, kita masih ditakuk yang sama. Kekurangan pakar saintis yang mampu mengilhamkan sesuatu yang baru masih wujud.
Oleh itu, dapat dianggap masih belum mampu untuk berdepan dengan kuasa-kuasa besar.
Andainya kita sering mengkritik tentang punca kemunduran Khalifah Uthmaniyah kerana tiada pembangunan dan kemajuan dalam perkembangan sains dan teknologinya maka perlu difikirkan di manakah kita sekarang?
Apakah orang yang mengkritik sebenarnya sama dengan yang dikritik ?
Sekalipun kekuatan pembangunan keinsanan dicapai adakah boleh menghadapi negara-negara teknologi gergasi tanpa ‘potensi’ sains dan teknologi bersifatkan kendiri ?
Ini semua persoalan yang perlu dijawap bukan dengan hanya di atas kertas tetapi dengan cara pembuktian.
Adakah selama-lamanya kita ingin meminta sedekah kepakaran sains dan teknologi dari Barat ?
Mungkin perlu kita kembali mengintai pemikiran-pemikiran falsafah klasik (terutama aliran falsafah Isyraqi) sambil mempelajari perkembangan falsafah sains dan teknologi kini.
Dalam sains moden, teori kepelbagaian telah dibincangkan. Pro dan kontra terhadap teori sebegini dapat dilihat.
Sepatutnya umat Islam menganggap bahawa al-Quran itulah sumber segala teori-teori tetapi di manakah hendak dicari mursyid yang mampu menggali ciri kerohanian dan kejasmanian darinya secara jitu dan mendalam sebagaimana yang hampir dicapai oleh al-Imam Fakhruddin al-Razi (wafat 606H).
Dari al-Fatihah sahaja, beliau mampu mengeluarkan 10,000 perbahasan yang mencakupi semua bidang ilmu pengetahuan pada masanya.
Sekalipun al-Alusi ada mengkritik beliau namun masih menyokong cara yang dilalui oleh al-Imam al-Razi.
Ramai ulama menganggap bahawa al-Quran merupakan ayat maqru’ah (ayat yang dibaca) manakala seluruh alam merupakan ayat manzhurah (ayat yang dilihat).
Kedua-dua konsep menuju kepada kesatuan atau tauhid. Di situlah terdapat unsur teori kepelbagaian.
Bilakah kita akan bermula untuk mencari rahsia wahyu secara adil dan saksama tanpa menafikan secara total segala pentafsiran silam.
Selanjutnya, pembangunan keinsanan turut wajar ditingkatkan kerana dengannyalah maka pembangunan sains dan teknologi akan dibawa dengan lebih berkesan.
Andainya hendak mengkritik mestilah didasarkan pada ilmu pengetahuan. Semaikan sikap berdaya maju dalam segala hal. Sifat yakin yang tekad berdasarkan ilmu yang mantap dapat melahirkan keharmonian dalam tindakan.
Semoga selamat dalam mengharungi tahun-tahun mendatang.
* MOHD. ZAIDI Abdullah, seorang penyelidik di sebuah institusi pondok di Kelantan.
