



OLEH: MOHD ZAIDI ABDULLAH
SERANGAN ke atas pemikiran umat Islam sentiasa terpaksa dihadapi selagi dunia belum kiamat. Serangan tersebut ada kalanya mengenai akidah, fiqh, tasauf serta perkaedahan ilmiah. Dirasakan serangan dari sudut pengkaedahan ilmiah lebih kuat melanda umat berbanding serangan dalam secara terang-terangan. Ini kerana ia mampu melumpuhkan jati diri umat malah boleh menyebabkan keterbantutan kemajuan dan pembangunan umat Islam.
Umat kini semakin menghadapi situasi yang mencabar apabila arus globalisasi persis sebagaimana yang dikatakan oleh Prof. Dr. Md Salleh Yaapar bahawa ”ketika berhadapan dengan cabaran globalisasi ini, suatu umat akan segera berusaha mencari jati dirinya” (Jurnal Dewan Bahasa, September, 96).
Memang kesan globalisasi yang teramat nyata ialah kelumpuhan ekonomi Indonesia serta pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Ia sudah tentu memberi kesan secara langsung kepada arus dalam semua aspek kehidupan dan secara amnya kepada negara tetangga.
Seiring dalam arus globalisasi yang ber’senjata’kan ekonomi dan kemudahan komunikasi wujud pascamodenisme. Secara ringkas dan mantap, Prof. Dr Md Saleh Yaapar telah menganalisis fahaman tersebut dalam Pemikir (Jan-Mac 1996) hlm. 25-37. Sekali lagi, diperingatkan kembali, dalam Jurnal Dewan Bahasa bertajuk Pemikiran, Bahasa dan Sosiobudaya Melayu dinyatakan: ”Pascamodenisme amat menarik,tetapi dapat membawa kekacauan, malah kesesatan.
Oleh sebab itu, pembawaannya perlu direnungi oleh para sarjana.” Kandungannya penuh skeptisisme dan relativisme. Sikap menafikan kebenaran mutlak sudah tentu pemikiran yang langsung tidak mendapat tempat dalam ajaran tauhid Islam kerana Islam adalah kebenaran segala-galanya. Cirinya yang memperjuangkan ketiadaan makna boleh merentap segala apa yang telah dihasilkan oleh para sarjana Muslim dan orang Melayu.
Penelitian beliau amat bernilai dan bermakna dalam perkembangan alam pemikiran tamadun Melayu sekalipun bidang kepakarannya tertumpu pada Kesusasteraan Bandingan. Pertimbangan-pertimbangan beliau memenuhi cita rasa pemikiran tradisional dan pengislaman ilmu-ilmu moden yang sudah tentu dipengaruhi alam pemikiran gurunya, Prof. Dr. Seyyed Hossein Nasr. Dalam kajian saya, setelah melalui acara pendalilan ilmu tauhid, mustalah hadis, rijal ul-hadis, arabiah dan seumpamanya maka saya menyokong pendapat beliau terhadap pascamodenisme. Dalam satu perkembangan lain, ada tokoh-tokoh falsafah sains moden turut mengkritik pascamodenisme yang amat melampau ini.
Kesan buruk fahaman ini ialah kelancangan mulut dan pemikiran. Kesopanan pasti ditinggalkan. Segala jasa manusia yang ditinggalkan kemungkinan dianggap remeh. Malah sepatutnya diperbaiki atau ditambah apa yang kurang dalam warisan silam. Inilah sebenarnya yang telah dipraktikkan oleh tamadun moden kini. Hampir tiada langsung mereka mengkritik warisan silam mereka secara total. Oleh sebab itu, jangan kita terpengaruh fahaman yang membelakangkan warisan kita.
Ini ada kaitan dengan jati diri umat Islam, bila bercakap soal sains Islam pasti akan tercari-cari apakah itu sains Islam? Apakah sains dan teknologi kini tidak Islam? Ini semua masih menghantui masyarakat Islam. Ada juga yang sering bercakap, ”Barat maju sebab dia pinjam pemikiran Islam!”.
Dengan kesedaran ini, ramai orang Islam kembali berminat untuk mentelaah tafsiran al-Quran sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu atau Arab. Malah ada yang sanggup untuk mempelajari karya-karya silam seumpama al-Syifa’ karya Ibnu Sina, al-Hikmah al-Muta’aliyyah karya Sadruddin al-Syirazi, karya Jalaluddin al-Dawwani dan lain-lain. Bila dibaca seakan tiada terlihat langsung pemikiran saintifik dan kebanyakannya tersusun pemikiran yang pelbagai termasuk teosofi.
Sebenarnya sambutan terhadap karya begini akan serta pembacaan yang teliti akan melahirkan pencetus atau sumber inspirasi yang difahami daripada sumber visionari, penghikayatan, kiasan dan sebagainya yang boleh dikategorikan sebagai sebahagian kesusateraan.
Yang dampak kesaintifikannya hanya dalam sumber Ibnu Haitham dan lain-lain. Sepatutnya kita bertanya, kenapakah para orientalis moden amat berminat dengan karya-karya sufi dengan usaha perterjemahan? Kita tidak boleh terus mengecapkan mereka suka berkhayal dengan bahan-bahan tersebut atau apakah mereka menjadi jambatan kepada para saintis untuk mencari inspirasi terbaru.
Dalam khazanah alam pemikiran Melayu, kita wajar berbangga dengan kehadiran pemikiran al-Syaikh al-Adib Ahmad Zain al-Fatani (w.1908) dalam Hadiqat ul-Azhar Wa I-Rayahin, yang telah mengambil berat dengan mencetus pembetulan sikap-sikap kelekaan umat Melayu terhadap kemajuan sains dan teknologi. Hayat beliau semasa dengan hayat Albert Einstein dan ini membuktikan ketajaman serta kepekaan beliau terhadap perkembangan semasa. Pemikiran beliau boleh dikatakan teradun setelah banyak melakukan lawatan seperti mengunjungi Mesir dan Turki.
Rasanya, tidak lengkap andai tidak disebut pemikiran-pemikiran era moden. Sebagai contoh, Adel M.A. Abbas dalam His Throne Was On Water, 1997, terbitan Amana Publications, telah menyaringkan pemikiran tercetus daripada wahyu dan perkembangan pemikiran saintifik moden setelah melalui perbincangan serius dengan Prof. Dr. Abdurrahman al-Kurdi (Timbalan Rektor Universiti al-Azhar). Sekali lagi, wajar kita teliti tulisan Prof. Dr. Osman Bakar bertajuk Muslim Intellectual Responses to Modern Science dalam Knowledge Is Light: Essays in Honor of Seyyed Hossein Nasr (1999). Dalamnya, disebutkan seorang tokoh Syaikhul Azhar bagi tempoh 1830-1834, Hasan al-Attar.
Beliau berhempas pulas meneliti kembali karya-karya silam serta diberikan penotaan bagi memantapkan kembali metodologi pemikiran saintifik Islam. Umpamanya dalam bidang mantik seperti komentar (hasyiah) atas Syarh Zakaria al-Anshari atas Isaguje (Naskhah Syaikh Muhammad ibn Abdul Qadir al-Fatani beserta ta’liq bertarikh 1330 H.) dan Komentar atas al-Khubaishi (naskhah Tuan Guru Abdullah dengan pembetulan teks di bawah bimbingan Syaikh Dawud Sulaiman al-Kalantani al-Makki).
Bila diteliti hampir kesemua pemikiran menyentuh penerusan, pengembangan dan gabung jalin. Ini semua boleh didapati oleh sanad ilmiah dan pendekatan genetik (Pengantar Kesusasteraan Bandingan, 37-44).
Kesimpulan, umat Islam perlu peka terhadap perkembangan semasa sekalipun ingin kembali menguasai peninggalan silam yang boleh dimanfaatkan sebagai pencetus atau sumber inspirasi dalam membina jati diri bangsa serta mengembalikan kedudukan Muslim di mata dunia. Sikap mengkritik tanpa ilmu akan merugikan semua pihak. Kebiadaban pascamodenisme perlu dihindari bagi membentuk umat Muslim yang berjati diri.
