21 Jul 2000 @ 9:59 AM 

Oleh: PROF. DR. MOHAMED YUSOFF ISMAIL

SEMENJAK peristiwa di Sauk, pelbagai pandangan telah dikemukakan dalam media tempatan tentang ajaran sesat dan kaitannya dengan politik dan keselamatan negara.

Salah satu polemik yang sangat menarik ialah perbezaan pendapat antara Mohd. Zaidi Abdullah dan Dr. Abdul Hayei Abdul Shukor (Lihat Utusan Malaysia 11 Julai dan Mingguan Malaysia 9 Julai 2000).

Polemik tersebut menyentuh sama ada orang Islam wajib percaya kepada kemunculan Imam Mahdi atau tidak. Penulisan Profesor Syed Hussein Alatas (Mingguan Malaysia 16 Julai) dan Mohd. Marzan Awang (Utusan Malaysia 17 Julai) juga ada kena mengena dengan polemik tersebut.

Sebenarnya kemunculan Imam Mahdi itu dapat dikaitkan dengan fenomena sosial dan budaya yang berlaku bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam sistem agama lain. Fenomena ini agak sejagat dan dikenali di kalangan ahli antropologi dan sosiologi, dan juga ahli sains politik, sebagai gerakan millenaria atau gerakan messianic.

Dalam penulisan ini kita akan melihat bagaimana gerakan millenaria boleh timbul dalam agama selain daripada agama wahyu dengan melihat perkembangan gerakan tersebut di kalangan penganut agama Buddha.

Kebanyakan agama yang berasal daripada tradisi Judeo-Kristian mempunyai kepercayaan kepada kedatangan seorang nabi penyelamat. Tokoh agung itu akan turun dari langit untuk menyelamatkan umat manusia daripada penderitaan yang berpunca daripada sistem sosial, ekonomi dan politik yang porak-peranda (anarchy).

Apakah huraian antropologi ke atas fenomena millenaria? Apakah yang menyebabkan penganut sesuatu sistem agama yang mantap dari segi pengurusan sosial dan birokrasinya boleh terpedaya dengan ajaran yang dibawa oleh orang yang mengaku dirinya tokoh penyelamat? Apakah ciri istimewa tokoh itu sehingga pengikutnya sanggup melakukan dengan membuta tuli apa sahaja yang disuruh?

Mengikut tradisi Kristian, istilah millenaria merujuk kepada tempoh seribu tahun yang akan diperintah oleh Nabi Isa yang kembali ke dunia setelah dibangkitkan semula bersama-sama dengan wali-walinya.

Masalahnya ialah sebelum kedatangan Nabi Isa yang sebenar, beberapa tokoh palsu akan muncul serta mengambil kesempatan daripada kekecohan sosial dan politik untuk kepentingan masing-masing.

Dalam penggunaannya yang lebih meluas dan sejagat, millenaria merujuk kepada kemunculan seorang ‘penyelamat’ yang ditunggu-tunggu yang akan membawa kebahagiaan kepada semua umat manusia yang telah sekian lama menderita.

Maka tidak hairanlah jika dalam sejarah manusia, beberapa tokoh palsu akan muncul satu demi satu. Mereka akan memperdaya umat manusia dengan menggunakan kekecohan sosial dan bencana kemasyarakatan sebagai petunjuk bahawa hari kiamat sudah hampir tiba.

Oleh itu, gerakan millenaria dikatakan berpunca daripada wujudnya perasaan tidak paus hati, kecewa, tersisih, kecundang yang dialami oleh masyarakat secara meluas. Misalnya, di Itali pernah berlaku kebangkitan millenaria di kalangan golongan tani yang menderita kerana penindasan yang teruk akibat kewujudan sistem kapitalis moden. Di daerah Melanesia di Lautan Pasifik, kultus kargo (cargo cult) muncul sebagai bantahan kepada kedatangan kuasa penjajah kulit putih. Begitu juga di Jerman; berlaku kebangkitan kelas buruh Annabaptist di Munster yang menderita kemiskinan dan tahap kebuluran yang sangat teruk.

Kebanyakan penyelidik mempunyai pendapat yang sama bahwa gerakan millenaria itu merupakan ”agama bagi golongan yang tertindas.” Dalam menghadapi keadaan sosioekonomi yang sangat terdesak orang mudah percaya kepada kedatangan seorang penyelamat. Lagipun kebanyakan sistem agama memberi tempat dan laluan kepada tokoh seperti iu.

Apakah yang diperjuangkan oleh pemimpin millenaria ini? Perkara penting dalam perjuangan tersebut ialah pembebasan serta-merta daripada penderitaan. Apa yang mereka mahu ialah keruntuhan sepenuhnya kepada sistem sosial dan politik masa kini.

Gantinya ialah dunia baru yang penuh dengan keadilan dan kebahagiaan, sebuah utopia. Justeru mereka mesti melakukan sesuatu, biarpun tindakan tersebut tidak masuk akal, karut serta bertentangan dengan akidah.

Satu sifat yang seragam, pada gerakan millenaria ialah kesamaran pada bentuk dunia baru dan aturan sosial yang diperjuangkan itu. Ideologinya kurang jelas, organisasinya tidak tersusun dengan rapi. Tetapi dalam keadaan yang tertekan, ini bukanlah soal penting, kerana perantaranya yang berupa seorang tokoh atau ‘nabi-penyelamat’ akan muncul dan bersedia untuk membawa mereka ke dunia baru yang bahagia dan sejahtera.

Yang pentingnya ialah mereka mesti percaya kepada kebolehan pemimpin tersebut dan bersedia untuk mengikut arahannya. Bagi mereka perjuangan mesti diteruskan, kerana wahyunya datang daripada kuasa ketuhanan, mungkin dalam bentuk tokoh silam yang sudah mati tetapi yang menjelma semula dalam bentuk jasad pemimpin yang berkarisma itu.

Jika pengawasan pihak berkuasa terlalu ketat, mereka akan bergerak di bawah tanah, atau dalam bentuk yang senang mengaburi mata pemerhati luar. Sebab itulah gerakan millenaria agak sukar untuk dikesan pada peringkat awalnya. Biasanya bila gerakan itu disedari, maka pengaruhnya sudah luas membara sehingga sampai kepada tahap yang sukar dibendung.

Dalam sistem agama Buddha Theravada, seperti yang dianuti di Thailand, juga terdapat ruang bagi bercambahnya gerakan millenaria. Pemberontakan agama yang berlaku di wilayah timur laut pada awal abad ke-20 adalah salah satu daripadanya.

Puncanya agak mudah difahami, kerana wilayah ini adalah wilayah yang paling miskin, serta tersisih daripada arus pembangunan negara.

Selain kemiskinan penduduk tempatan dikatakan sering ditindas oleh pemerintahan pusat. Biarpun penduduk di wilayah timur laut itu beragama Buddha seperti juga penduduk di wilayah tengah, namun terdapat perbezaan dari segi identiti etnik dan amalan budaya tempatan. Tekanan dan sikap angkuh pegawai tadbir dari pusat memburukkan lagi penderitaan sosial dan ekonomi penduduk tempatan.

Suasana yang sangat tertekan itu diburukkan lagi dengan timbulnya khabar angin tentang kedatangan seorang nabi penyelamat berupa tokoh agama bernama Ong Man. Pemimpin ini dikatakan mempunyai karisma dan keistimewaan ajaib kerana telah banyak melakukan jasa dari segi agama, iaitu sebagai phu mi bun (orang yang banyak membuat pahala dan amal ibadat).

Antara keistimewaan Ong Man ialah kebolehan beliau menunjukkan sifat kesaktiannya dengan memukau para pengikutnya. Beliau dikatakan pernah mengisi muncung senapang dengan pasir bagi menggantikan ubat bedil, lalu menggunakan senapang itu untuk menembak.

Kedatangan tokoh penyelamat seperti ini memang diramalkan dalam beberapa kitab sampingan dalam tradisi bertulis agama Buddha di Thailand. Kemunculan Ong Man kena pada ketika dan waktunya kerana pada awal tahun 1900-an, keadaan kemiskinan begitu memuncak sehingga penduduk tempatan mudah percaya kepada apa sahaja yang boleh menyelamatkan diri mereka daripada kesengsaraan itu.

Pada masa yang sama tersebar khabar angin lain yang menyebut bahawa pada ketika munculnya nabi penyelamat, emas dan perak akan bertukar menjadi batu, sementara batu akan bertukar kepada emas dan perak. Haiwan ternakan, seperti babi dan kerbau, akan bertukar menjadi emas dan perak. Haiwan ternakan, seperti babi dan kerbau, akan bertukar menjadi raksasa ganas yang akan membaham tuannya hidup-hidup. Malapetaka itu hanya dapat dielakkan dengan meminta air jampi dan tangkal pelindung diri daripada golongan agamawan yang dikenali sebagai phu wiset, iaitu mereka yang pernah menjadi bikhu.

Pada peringkat kemuncaknya, keadaan menjadi begitu kelam-kabut dan tidak terkawal lagi sehinggalah tercetusnya histeria awam: orang mula membunuh babi dan kerbau, ada yang mula mengutip anak batu di tepi sungai dan menunggu arahan selanjutnya daripada Ong Man sebagai nabi penyelamat.

Kejayaan Ong Man mengumpul pengikutnya dan menggerakkan mereka seolah-olah seperti pasukan tentera menyebabkan pihak berkuasa tempatan merasa cemas dan terancam. Biarpun pada mulanya pihak pentabdiran wilayah cuba menidakkan kemunculan Ong Man dan pengikutnya tetapi akhirnya mereka terpaksa meminta bantuan tentera dari Bangkok untuk mententeramkan keadaan.

Selepas peristiwa pada tahun 1901, ada lagi beberapa gerakan millenaria yang tercetus di Thailand. Misalnya dalam tahun 1924, 1959 dan 1966, muncul lagi fenomena yang sama, tetapi semuanya berjaya dilenyapkan.

Tokoh-tokoh yang muncul dalam gerakan millenaria yang menyusul itu dikatakan mempunyai pelbagai kebolehan ajaib. Ada yang boleh menangkap ikan emas dengan hanya menebar pukat pada pohon kayu di darat; ada yang menjadikan mangkuk dana yang kosong tiba-tiba penuh berisi dengan nasi. Ada pula tokoh penyelamat yang mengaku dirinya penjelmaan semula raja agung zaman silam seperti Raja Chulalongkorn dan Thao Thammikarad.

Yang menariknya ialah semua pemberontakan itu mempunyai ciri percambahan yang sama: keadaan rakyat yang tertekan kerana kemiskinan, kemunculan tokoh agama yang boleh memperlihatkan magis dan kuasa ajaib, dan ramalan tentang hari kiamat serta peralihan kepada keadaan yang lebih baik dan sejahtera.

Satu perkara yang dapat kita rumuskan daripada gerakan millenaria ialah dalam sistem keagamaan terdapat ruang kepercayaan yang boleh dijadikan jalan keluar kepada krisis kemasyarakatan.

Krisis tersebut mungkin diakibatkan oleh perasaan tertekan kerana kemiskinan yang amat sangat, rasa tersisih daripada arus pembangunan, atau rasa tidak puas hati secara umumnya terhadap sesuatu sistem sosial.

Gerakan millenaria bukanlah perkara baru dalam tamadun manusia. Biarpun terdapat pelbagai polemik tentang kedatangan nabi penyelamat, satu pengajaran yang boleh diambil ialah manusia sebagai insan sosial akan mencari jalan keluar yang paling mudah apabila mereka menghadapi tekanan yang amat sangat. Sama ada jalan yang dipilih itu masuk akal atau tidak, itu bukan perkara yang penting. Orang boleh percaya kepada perkara tahyul, tangkal, azimat, dan apa sahaja asalkan mereka yakin bahawa akhirnya mereka akan menemui juga dunia utopia yang dicari-cari itu.

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58