



UTUSAN MALAYSIA SABTU 14 JUN, 1997
Forum Hujung Minggu
Sejauh mana Melayu amalkan Islam sebenar ?
Saudara Pengarang,
Ekoran dari perbahasan yang telah ditimbulkan oleh Dr. Abdul Latif Samian, seorang pensyarah di UKM tetapi pandangannya kemudian disangkal oleh Kassim Ahmad telah mencetuskan kontroversi fakta di kalangan kedua-dua pihak yang diistinbatkan daripada fenomena-fenomena semasa di Malaysia yang sedang membangun menerusi Wawasan 2020.
Setelah negara kita dijajah, pastinya masalah-masalah akan timbul apabila kita mula mengorak langkah menuju kemajuan daripada ‘kontroversi tradisi dan moden’, kejutan budaya sehingga kepada persoalan mampukah bangsa kita memecah kebuntuan ke arah kreativiti. Tulisan ini hanyalah sekadar tambahan kepada kenyataan mereka berdua.
Sememangnya Kassim Ahmad dan Abdul Latif Samian telah menonjolkan aspek-aspek masalah dasar yang berkaitan dengan permasalahan Melayu-Islam. Sentuhan mereka berdua patut dihargai.
Jelasnya, pada pandangan saya, kemelut masyarakat Melayu masih di tahap tidak berimbang. Sememangnya masyarakat Melayu telah menerima Islam kira-kira 500 tahun lalu tetapi kita harus menilai sejauh manakah masyarakat Melayu mengenali dan mempraktikkan Islam. Apabila kita menyedari situasi ini maka dapatlah kita memastikan jawapan terhadap isu-isu yang berlaku pada hari ini.
Dalam pemerhatian saya, di sekitar Lembah Klang dan juga di Pantai Timur, kebanyakan umat Islam masih belum mengerti tentang Islam sejati. Malah, masyarakat Islam di Malaysia masih di tahap menghuraikan Islam menurut rasa sedap hati bukan berdasarkan ilmu.
Masih ada orang bercerita tentang Islam hanya sedap di mulut tetapi di hati kosong. Ini adalah persoalan dan realiti yang harus diberi perhatian.
Juga, bertolak dari realiti ini akan memberi kesan kepada cita-cita pada masa depan. Fenomenan ini berlaku akibat daripada kurangnya penghayatan menuntut ilmu yang sememangnya menjadi kewajipan semua orang.
Sebagai tambahan, dalam menyebarkan ilmu agama seperti fikah, tauhid atau tasawuf di masjid, surau atau pusat-pusat pengajian, umat Islam mungkin tidak menyedari bahawa mereka lupa kepada ilmu yang membahaskan tentang prinsip dan kaedah iaitu yang dikenali sebagai usul fiqh dan kaedah fikah.
Ciri-ciri ilmu ini saya yakin dapat membantu dalam menguraikan kemelut masyarakat Islam kini kerana dalam penghidupan ini pastinya kita berhadapan dengan situasi pemilihan di antara beberapa yang terbaik maka prinsip dan kaedah ini akan memberi panduan dalam masa pemilihan itu sama ada memberi pulangan keuntungan pada jangka pendek atau panjang.
Seandainya pun kita mengetahui fikah, tauhid, tasawuf namun ini hanya akan menyelesaikan ‘masalah’ dari beberapa aspek sahaja tidak keseluruhannya. Atau, dengan kata lain, kreativiti dalam strategik tidak dipraktikkan maka bagaimanakah kita boleh melahirkan masyarakat yang tahan cabaran ?
Bimbang
Dalam soal kefahaman Islam, memang kita bimbang dengan situasi orang muda tetapi seandainya kita dengar daripada mulut orang yang selalu ke masjid atau surau pun masih ada yang tidak faham dengan Islam.
Saya rasa pembaca dapat mengesan ciri-ciri ini dalam masyarakat kita. Apabila hal ini sememangnya tidak dapat dinafikan berlaku bolehkah kita katakan kemajuan yang kita kecapi kini berinspirasi daripada konsep Islam atau berpunca dari kehendak hati insan. Pada tahap ini, barulah dapat dipastikan betapa kukuh sesebuah masyarakat pada masa kini dan kemampuan untuk bertahan bagi sesebuah tamadun.
Pihak tertentu haruslah menyedari hakikat ini dan mengambil pendekatan yang selamat untuk/dari semua pihak sama ada pihak kerajaan, pelabur, individu dan lain-lain yang terlibat sama dalam hierarki negara.
Akan berhasilkah cita-cita Wawasan 2020 dengan piling yang tidak kukuh. Di sini, bukan saya mengajar pembaca mengikut Islam yang penuh ekstrim tetapi Islam yang penuh kesederhanaan kerana mafhum sabda Nabi s.a.w., “Islam itu adalah pertengahan.” Kita ambil kekuatannya dengan diliputi kaedah penyelesai masalah dan pengembang kekuatan individu seterusnya mengukuhkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Persoalan kedua yang perlu saya teliti daripada kenyataan mereka berdua ialah ayat yang bermaksud: “Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri.”
Ayat ini mengundang kita untuk kembali menyelusuri sejarah Islam silam yang pernah memperdebatkan soal ‘ikhtiyar’ dan ‘kasbi’ di kalangan mutakallimun dan ayat menyentuh soal akidah. Dari sepotong ayat ini, telah menghasilkan suatu konsep ‘ikhtiyari’ (pilihan hati) dan ‘kasbi’ (usaha) dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Konsep tersebut juga sememangnya terlibat langsung dalam penghidupan insan setiap hari dan semua orang telah tahu ‘pemilihan tepat’ akan memberi ‘pulangan’ terbaik bagi hidup ini manakala ‘kesilapan’ dalam pemilihan akan mengundang permasalahan yang pelbagai tahap yang tidak diketahui adakah mampu untuk diselesaikan.
Dari kacamata saya, kebanyakan gejala yang berlaku kini adalah akibat kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu-Islam dalam pemilihan bentuk hidup, dan pemilihan yang lepas telah membentuk realiti situasi masyarakat kini dan fenomena ini telah menyokong teori sebab-akibat dalam pensejarahan. Pemilihan ini dilibatkan langsung oleh individu, pemimpin, cita rasa tempatan, penggubal dasar dan lain-lain terhadap ‘perkara-perkara baru’ yang dikenakan kepada masyarakat ini.
Aspek ikhtiyar dan kasbi adalah penentu kecapaian dalam segenap segi hidup. Oleh demikian, kita harus menyelidik apakah punca sebenar sebahagian besar masyarakat Melayu-Islam ‘gerhana’ dalam bidang tertentu dalam meniti kemajuan seperti kekurangan saintis sedangkan pakar di bidang ini penting. Atau, dengan kata lain, kita bertolak dari pemilihan dan usaha seterusnya daya kreativiti dengan keyakinan akan keesaan Allah.
Satu lagi perkara yang sedang berlaku di negara kita yang menuju era wawasan iaitu kekurangan minat pelajar terhadap sains dan teknologi. Kekurangan minat dalam bidang ini boleh dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor. Di antaranya, sifat ‘tidak mahu kepala pusing’ sudah merebak di kalangan generasi harapan apalagi bila hiburan lebih mendapat tempat di hati dan hanya segelintir generasi harapan yang sedang menceburi bidang sains dan teknologi profesional yang memungkinkan penciptaan-penciptaan terbaru. Juga, sikap ingin segalanya mudah tanpa mempedulikan kesan jangka panjang.
Inilah situasi yang telah melanda masyarakat ini. Di sini, pada hemat saya, masyarakat Melayu-Islam mampu untuk bangkit daripada kegerhanaan yang melanda dan insya Allah dengan pemilihan yang tepat, usaha dengan dibantu oleh kreativiti masyarakat ini akan mengulangi kecemerlangannya seperti mana nenek moyang kita di zaman Kesultanan Melaka, Johor-Riau dan beberapa tempat lagi di Nusantara yang pernah mendapat tempat di mata dunia.-
MOHD. ZAIDI ABDULLAH, Pasir Mas, Kelantan.
