31 Aug 2008 @ 1:04 AM 

Assalamu’alaikum,

Kemerdekaan kali ini sungguh bermakna buat kami, penyelidikan kami sedang memasuki ‘pintu antarabangsa’. Ini dicapai setelah berusaha dengan sedaya upaya. Kami berpegang pada prinsip Ahli Sunnah berteraskan peruntukan pilihan hati (ikhtiyar) dan usaha (kasb). Dua teras ini mengkreatifkan kami dalam menyusun kesatuan dan kesepaduan ilmu. al-Ilm yang dijunjung adalah al-hikmah. al-Hikmah yang agung adalah al-Quran. al-Quran dihurai pula oleh al-Sunnah atau al-Hadith. al-Ijma’ merupakan jaminan keautoritian ajaran Islam terpelihara oleh mereka yang jujur dan terpecaya.

Pilihan hati yang ditemukan dengan pencerahan nur al-hikmah amat mendalam sifatnya. Kedalaman penuh bererti ini telah memperlihatkan keseluruhan hierarki akal dan ruhani. Pilihan kami amat tepat serta bersesuaian dengan program yang telah dijalankan oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Pada asasnya, pembentangan yang disampaikan di Hari Pondok Se-Malaysia Pertama pada tahun 2001 di Kota Bharu Kelantan berjalan dengan baik. Pembentangan ini melibatkan kaedah pengajian tradisi Islam yang bersanad hingga menghubungkan diri dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam pada itu, pembentangan ini menyediakan kerangka pelatihan kader-kader yang telah berjasa kepada perkembangan Islam di Asia Tenggara. Peluang tersebut telah mensetkan kami dalam kerangka penyelidikan dan pembangunan yang telah dirancang sejak 1991.

Dilihat betapa kuat realiti semasa kepada sains sosial, sains dan teknologi manakala yang agak mendukacitakan bidang kemanusiaan kurang ditumpukan. Pilihan serta usaha dilakukan meninjau ulang (re-search) tradisi al-Hikmah yang sejak 2001 lagi dikaji dalam penetapan suatu bentuk paradigma yang holistik. Maka, sebuah pembentangan diusahakan pada tahun 2004 sempena penyelidikan Nafas Baru Hikmah al-Ishraq di Bangunan Sains Nuklear UKM. Nafas Baru tersebut juga mendapat penghormatan dengan kata aluan khas dari Prof. Emeritus Osman Bakar. Holistik yang telah meneguhkan sains matematik yang dikemukakan oleh tokoh silam umpamanya. Holistik tersebut juga terlahir dalam penafsiran terkini terhadap gambaran yang dikemukakan Roger Penrose. Ini diusahakan bersama dengan Prof. Shahidan Radiman pada ketika itu.

Penafsiran ini yang bersumberkan tradisi al-Hikmah dirujuk oleh Prof. Shaharir Mohamad Zain dalam nada penyelidikan beliau sendiri dalam dua buah buku fizik-matematik yang dijadikan teks di UKM. Dr. Mohammad Alinor juga banyak mengajar kami dalam bidang falsafah logik, sains dan matematik. Perkenalan ilmiah dengan beliau berdua memperkukuhkan minda. Agak berat juga penyelidikan yang melibatkan simbol-simbol matematik namun pilihan hati telah terdetik dan usaha pula sedang muncul.

Pada tahun 1427H/2006M, kami secara kerjasama telah dalam Seminar Kebangsaan Pengajian Bersanad dan Sains Islam telah memperkukuhkan kembali tradisi turun-temurun dalam bentuk nafas baru tanpa mencacatkan ilmu-ilmu tradisi. Akar serta jati diri bentuk pemikiran Islam di Asia Tenggara telah dipusatkan. Pemusatan yang jelas kepada tradisi pengajian bersanad yang mementingkan pencarian ‘barakah’ (iaitu satu aspek yang tidak diambil tahu oleh pendidikan moden). Pengetahuan atau ilmu yang ‘barakah’ inilah yang membawa keunggulan ummah.

Pada hari ini, kami terkesan oleh suatu holistik (keseluruhan) yang amat bermakna dalam memberikan yang terbaik kepada para pembaca setiap penyelidikan kami dalam setiap aspek yang diceburi. Penyelidikan yang asli dan menjurus kepada minda kelas pertama. Pada tahun ini juga - setelah terlahir dari lisan Prof. Shaharir beberapa tahun lalu - kami mencari asas dalam kajian. Keputusannya, diperoleh dengan pembentangan khas Wajib al-Wujud dan Mumkin al-Wujud Dalam Tradisi al-Hikmah Sebagai Asas Sains Islam. Diharapkan ini asas bagi setiap keterlahiran segala kajian oleh sesiapa pun termasuk kami. Tanpa wujud, tiadalah kajian dikemukakan oleh sesiapa pun.

Keselarasan paling rasional pada kehendak dan iradat kami yang merupakan asas ‘penentu’ kepada pembentukan kepada dua sub al-Hikmah sama ada al-Hikmah al-Nazhariyyah atau al-Hikmah al-’Amaliyyah. Kehendak dan iradat lahir dari pilihan hati kami. Ini serasi benar dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan mazhab aqidah di Asia Tenggara yang utama. Tradisi ini diriwayatkan oleh kami daripada al-Marhum Tuan Guru Hj. Abdullah ibn Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah dan lain-lain.

Akhir sekali, kami penuh yakin akan berhadapan dengan segala bentuk pemikiran dan ideologi dengan pemikiran yang bernas. Pemikiran holistik al-Hikmah ini mampu membawa masyarakat kini seperti yang pernah terjadi pada generasi silam tidak kira agama maupun bangsa. Ini satu petanda penting dan jelas bagi kami. Dengan ini, kami melangkah bersama menyambut kemerdekaan kali ini dengan penuh kesedaran. sekian wassalam.

- Mohd Zaidi Abdullah
Ketua Penyelidik,
Akademi ‘Ulum Pondok dan Pencerahan Tamadun,
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
1:00 pagi; 31. Ogos. 2008

Tags
Fatal error: Call to undefined function the_tags() in /home/ilhamkan/public_html/wp-content/themes/inanis-glass/archive.php on line 58